Sunday, June 22, 2014

Tips #02 : Idea Menulis Blog.

Teks : Noor Afziha
Imej : Sumber carian Google dan koleksi peribadi



Hari ini mahu cerita topik apa, ya?


Kebanyakan blogger yang sudah lama berkecimpung dalam dunia blogging mesti sudah biasa menghadapi situasi ini. Saya pun tidak terkecuali. Pernah sekali, saya menyepi sampai berbulan-bulan daripada menulis di blog, sampaikan beberapa orang pembaca sudi menghantar email peribadi semata-mata untuk bertanya khabar.


Teruknya saya rasa ketika itu!

Iyalah, kasihan pembaca kita punya lah setia setiap hari berkunjung datang ke blog kita, tetapi pulang dengan perasaan hampa kerana tidak 'disambut' dengan entri baru. Lebih-lebih lagi kalau kita mempunyai blog bisnes. Semakin lama blog dibiarkan sepi tanpa entri baru, pembaca akan mula tawar hati untuk berkunjung ke blog kita. Apabila semakin ramai pembaca 'lari', secara tak langsung bisnes kita akan terjejas kerana sudah hilang pelanggan!


Saya kongsikan 5 tips asas yang biasa saya gunakan untuk mendapatkan idea bagi menulis blog. Tips ini adalah berdasarkan kepada pengalaman saya selama bergelumang dalam dunia blog.


1. Pemerhatian Terhadap Persekitaran dan Isu Semasa

Baca surat khabar, layari internet, dengar radio, malahan dengan menonton rancangan kartun pun kita boleh jadikan sebagai sumber untuk menulis dalam blog seperti mana saya telah hasilkan sebuah entri bertajuk 'Kartun : Dari Kaca Mata Seorang Mama'. Contoh isu semasa paling hangat pada ketika ini adalah Piala Dunia 2014. Tidak salah untuk menyuarakan pendapat dan pandangan sendiri berkenaan sesuatu isu asalkan tidak menyentuh sensitiviti mana-mana pihak.


2. Jauh Perjalanan, Luas pengalaman

Bukankah terdapat satu pepatah dalam Bahasa Inggeris berbunyi, "Experience is Your Best Teacher". Setiap orang mempunyai dan mengalami pengalaman yang berbeza-beza, biarpun membuat suatu perkara yang sama. Maka, jangan lokek untuk berkongsi sebarang pengalaman peribadi terhadap sesuatu perkara. Tidak perlu susah hati kalau tiada pengalaman yang 'canggih' seperti pengalaman menyambut sendiri kelahiran bayi songsang, contohnya. Pengalaman kecil seperti 'pengalaman memandu kereta kali pertama' pun sudah boleh dijadikan sebagai idea untuk menulis di blog.


3. Ambil Gambar

Salah satu kegemaran saya adalah mengambil gambar. Saya suka mengambil gambar secara rawak tentang apa-apa saja yang berlaku di sekeliling. Daripada sebuah gambar, saya akan ceritakan sebarang kisah tersurat mahupun yang tersirat di sabalik gambar tersebut. Jadi, keluarkan apa saja jenis kamera yang kamu ada, dan mula ambil gambar!


4. Ulasan Produk / Perkhidmatan

Pandang sekeliling, lihat apa-apa saja barang atau produk atau servis yang sedang digunakan, dan beri ulasan. Bagi blog bisnes, boleh buat ulasan tentang perbezaan antara jenis-jenis produk yand dijual. Contohnya, blog jual kereta sorong bayi (stroller), boleh ceritakan perbezaan antara setiap jenis atau jenama stroller yang mendapat sambutan ramai. Sertakan sekali dengan pendapat atau feedback daripada pembeli sebelumnya utuk mengukuhkan lagi tahap kepercayaan bakal pelanggan terhadap produk yang kita jual. 


5. Buat Catatan atau Nota

Gunakan kemudahan aplikasi smartphone secara optimum! Saya gunakan aplikasi android ColorNote Sticky untuk mencatat nota tentang topik atau idea untuk menulis blog. Setiap kali melancong, saya akan catat tips atau panduan untuk dikongsi bersama pembaca blog. Idea kadang-kadang datang tanpa diduga, sebab itulah perlu dicatat agar kita tidak terlupa. 



Buku 555 zaman moden.


Bagaimana dengan anda? 

Ingat, usah biarkan blog menyepi terlalu lama, nanti pembaca 'merajuk' pula!


No comments:

Post a Comment