Tentang Penulis

Teks : Noor Afziha 
Imej : Koleksi Peribadi



Salam Sejahtera,


Nama saya Noor Afziha binti Ngarisan. Merupakan anak jati Johor dan kini menetap di Selangor. Bekas pelajar sekolah berasrama penuh di Kota Tinggi, Johor, sebelum menyambung pengajian ke peringkat sijil matrikulasi di Melaka. Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat (IT) dan menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dalam bidang pendidikan. Bertemu jodoh dengan suami sewaktu sama-sama menuntut di universiti, dan sah diijabkabulkan 5 tahun kemudian. Alhamdulillah, kami dikurniakan dengan sepasang cahaya mata sebagai penyeri hidup. Dibesarkan dalam keluarga yang majoritinya adalah guru, maka saya sendiri turut mendapat tempias aura 'cikgu' dan kini telah lebih lima tahun bertugas sebagai pensyarah IT di Kolej Komuniti.


Mula menulis blog sekitar tahun 2006 di platform blog laman sosial Friendster. Berpindah ke platform Blogger pada tahun 2008, sewaktu sedang sibuk mempersiapkan diri untuk bergelar raja sehari. Ketika itu, tidak banyak laman web mahupun blog Bahasa Melayu, jadi saya rasa terpanggil untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, terutamanya projek do-it-yourself (DIY) persiapan perkahwinan dengan bakal pengantin di luar sana melalui blog Isu Bumper Kahwin.


Rentetan daripada itu, saya mula aktif di alam blogosfera.


Sehingga ke hari ini, saya mempunyai lima buah blog yang masih aktif, dalam pelbagai genre. Antaranya, blog personal (Xeatopia) dan blog hiasan dalaman rumah (Organizing Thing). Pernah menjadi penulis bersama di blog tertutup; Wives and Mothers yang dibangunkan khusus buat golongan wanita bergelar isteri dan ibu bertukar pendapat serta berkongsi pengalaman. Bermula dengan sekadar suka-suka, kini saya mula memperoleh pendapatan sampingan daripada menulis blog. Selain menerima tajaan pengiklanan dalam blog, saya turut menawarkan perkhidmatan membangunkan blog bisnes.


Antara portfolio blog bisnes yang pernah dihasilkan :





Selain bekerja sepenuh masa, saya turut mengajar kursus pendek kepada komuniti setempat pada hujung minggu. Antara kursus yang paling mendapat sambutan adalah Kelas Blog yang kebanyakan peserta terdiri daripada usahawan, pesara, dan suri rumah. Saya juga pernah dijemput untuk menyampaikan seminar Blog Bisnes kepada golongan usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) dan pelatih di Pusat Latihan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).


Biarpun agak selesa dengan kehidupan bergelar ibu berkerjaya sepenuh masa, tiada siapa dapat mengelak naluri kuat seorang ibu yang mahu sentiasa berdamping dengan anak-anak dan membesarkan mereka dengan air tangan sendiri. Atas dasar itu, saya mengambil keputusan untuk menyertai Akademi Bekerja di Rumah (ABDR) sebagai Rakan Niaga ABDR untuk mengutip seberapa banyak pengetahuan, pengalaman dan sokongan daripada guru, mentor dan rakan-rakan. Dalam ABDR, semua ahli akan diberi tunjuk ajar untuk mengenalpasti potensi diri serta mula menjana pendapatan dari rumah.


Blog "Panduan Bina Blog Bisnes Online" ini merupakan blog yang terhasil melalui sesi pembelajaran bersama Cikgu Zaila di Kelas Asas Blog dan Penulisan. Kenapa perlu belajar buat blog lagi? Sebelum ini, saya menulis blog secara syok sendiri, tanpa panduan guru dan tiada arah tujuan, tetapi di ABDR, saya dibimbing untuk memahami niche blog dan menulis dalam skop yang lebih terarah serta sistematik.


Siapa tahu, blog ini akan membawa saya pergi lebih 'jauh' dalam dunia penulisan.


Tak Kenal Maka Tak Cinta,
NOOR AFZIHA BT NGARISAN


No comments:

Post a Comment